Wish Maker
G8CYVCJ6 |
"...saya akan tetap berusaha untuk mengukuhkan ekonomi yang dapat mendisiplinkan diri dengan berjimat cermat, menambah tabungan dan membuat perbelanjaan mengikut keperluan sahaja tanpa berlakunya pembaziran..." Bismillah Hirrahman Nirrahim Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh Sukacita saya mengucapkan syabas kepada pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kerana kempen Kisah Hajat ini berjaya untuk meningkatkan ekonomi masyarakat yang berdaya tahan dan seterusnya berfungsi menunaikan hajat para penabung yang terpilih menerima anugerah hajat BIDB di Negara Brunei Darussalam. Dengan adanya peluang keemasan ini telah membuka minda saya untuk menabung kerana selama ini saya tiada keupayaan dari segi kewangan untuk menabung namun atas inisiatif kesedaran pentingnya menabung saya mengorak langkah mengambil kesempatan positif ikut serta dalam Kempen Hajat BIBD ini demi menjana masa depan saya, keluarga, masyarakat dan negara yang cemerlang. Oleh itu saya nukilkan Kisah Hajat saya mengikut kriteria yang telah ditentukan seperti berikut:
awda menabung? Alhamdulillah Allah Subhanahu wa Ta‘ala masih memanjangkan hayat saya untuk menyara keluarga seramai 9 orang dengan wang pencen yang saya terima setiap bulan. Saya bersyukur juga, Isteri saya masih bekerja untuk sama-sama menampung perbelanjaan keluarga. Alhamdulillah juga kami sekeluarga sudah mempunyai rumah sendiri hasil ‘joint loan’ bersama isteri, walaupun pada masa ini isteri saya masih dalam tempoh 5 tahun akan datang membayar potongan pinjaman perumahan. Baksis yang saya terima 3 tahun yang lalu sudah habis digunakan untuk membaikpulih rumah untuk keselesaan anak-anak yang ramai. Dengan tanggungan keluarga yang ramai, keperluan belanja seharian memang sebenarnya tidak mencukupi, kerana baki pencen saya hanya kira-kira $220 dan isteri saya $245. Ini adalah kerana potongan bank pinjaman peribadi saya dan pinjaman bank skim persekolahan anak saya ialah $652.81 sebulan. Manakala potongan bank pinjaman peribadi isteri saya dan pinjaman skim persekolahan anak saya ialah $2,324.28 sebulan, yang perlu dibayar kira-kira lima tahun lagi. Selain itu bayaran lain ialah pinjaman kad kredit, gaji amah, minyak kereta dan bil-bil elektrik, air dan telefon ialah $1,040 sebulan. Punca utama memerosotan ekonomi kami sehingga tidak dapat menabong adalah penggunaan kad kredit kami masing-masing sudah mencecah had penggunaan berjumlah $19,500. Bayarannya terpaksa dibayar pada setiap bulan sekadar minimum dan sudah pasti membebankan kerana tidak pernah berkurangan. Saya juga pernah berikhtiar membayar semua kad kredit saya dengan pinjaman peribadi bank, namun setelah dilunaskan, kesuntukan wang memaksa saya menggunakan terus dan akibatnya bertambah kembali, akhirnya hutang pinjaman bank masih terus dibayar. Ini juga berpunca dengan perbelanjaan berulang kali membaiki 2 buah kereta milik isteri saya yang sudah berusia belasan tahun juga menggunakan kad kredit. Sejak kereta milik saya dikategorikan ‘condemn’ kerana terlibat dalam kemalangan dua tahun yang lalu, yang telah dipandu anak saya, maka sejak itu saya tidak berdaya untuk membeli kereta baru lagi. Dengan keadaan kewangan yang mendesak ini, Alhamdulillah saya berusaha memohon bantuan seorang hamba Allah yang bermurah hati untuk membantu menjelaskan penggunaan kad kredit kami setelah mendengar masalah yang kami hadapi. Setelah melunaskan kad kredit, saya membayar beliau sebanyak $300 sebulan sehingga habis dijelaskan dan tentulah baksis isteri saya nanti sebagai jaminan. Isteri saya juga menjelaskan kad kredit beliau dengan bayaran hasil pengeluaran 10% simpanan Tabung Amanah Pekerja beliau. Selain itu kami mengusahakan jualan makanan yang dihantar ke kedai-kedai runcit dan pejabat dan saya berikhtiar berniaga produk ‘multi level marketing’ seperti produk kesihatan Biosteen (minuman dari jus buah manggis yang diperkaya dengan air Zamzam, madu, herbatus suhada, cider apple, goji dan rosselle) untuk pelbagai penyakit yang sangat berkesan, dengan harapan untuk memperoleh sumber kewangan yang lebih dengan penerimaan bonus bulanan hasil jualan. Atas desakan kekurangan perbelanjaan setiap hari yang sering mendesak saya maka dengan niat yang tulus ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala jua dan untuk meningkatkan ekonomi kami sekeluarga, maka saya berhajat untuk ‘Membeli Bas Kenderaan Sekolah Untuk Menjana Pendapatan Melunaskan Hutang-Piutang’ 2. Bagaimana Tabiat Menabung Boleh Membantu Memperbaiki Kehidupan Awda? Tabiat menabung telah menyumbang semangat yang positif bagi saya untuk mencapai hajat saya. Ia juga sebagai sumber inspirasi untuk mengubah keadaan hidup kepada berfikiran lebih berinisiatif dan berusaha gigih untuk menjana pendapat ekonomi. Dengan dorongan untuk mendapatkan apa yang dikehendaki dengan menabung dan sebagai bekalan dan taruhan untuk kehidupan anak-anak masa depan juga menyumbang ke arah berfikiran cergas menghadapi dugaan hidup yang lebih mencabar dalam dunia globalisasi ini. Sudah pasti menjana kehidupan berkeluarga yang bahagia dan harmoni tanpa kerisauan kerana adanya wang tabungan sebagai menjamin kehidupan anak-anak demi masa depan yang cemerlang. Dengan berbekalkan inspirasi pendorong inisiatif, dan berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam Surah Ar-Ra'd, ayat 11: Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.
Maka saya juga berusaha menambah pendapatan dengan membuat perniagaan kerana sebagaimana hadis Nabi, “Sembilan daripada sepuluh daripada rezeki itu adalah daripada perniagaan”.
Maka dengan itu saya dan isteri saya berusaha untuk berniaga membuat makanan untuk jualan ke kedai dan pejabat, menjual minuman kesihatan, berikhtiar melunaskan hutang kad kredit dan memperoleh bonus pendapatan sepertimana yang telah saya perolehi dalam ringgit Malaysia. Semua ini adalah juga untuk disimpan ke dalam bank kerana tabiat menabung adalah satu inisiatif yang terpuji yang kepentingannya berfungsi mengubah sara diri seseorang agar bersikap optimis dan berfikiran positif. Dengan adanya wang tabungan kita tidak perlu berfikiran runsing kerana belenggu berhutang boleh menjejaskan ekonomi seseorang yang mengakibatkan kemerosotan kewangan dan mengganggu ketenteraman jiwa dan keharmonian kekeluargaan. Selain itu tabiat menabung juga berfungsi untuk menjamin masa depan saya dan keluarga, jika ditimpa malapetaka, penyakit, dan kehilangan jiwa maka tabungan akan dapat membantu mengatasi perkara ini. Dengan adanya wang tabungan, saya akan dapat menggunakannya pada saat-saat genting tanpa berhutang lagi. Untuk berjimat cermat, saya melatih anak-anak dan keluarga untuk berhemat dalam perbelanjaan di sekolah dan di mana sahaja mereka berada, dengan tidak membuat pembaziran baik dari segi makanan dan pakaian. Makan hendaklah tidak berlebihan untuk mengelakkan pembaziran dan penyakit, kerana punca penyakit adalah disebabkan oleh makanan yang tidak berzat dan yang berlebihan. Memakai pakaian selagi masih baik dipakai dan tidak perlu membeli barang-barang yang tidak berfaedah. Waktu ke sekolah, anak-anak tidak perlu diberi wang untuk belanja, mereka dibekalkan makanan dan minuman dari rumah. Usaha-usaha ini akan dapat menjimat wang dan digunakan untuk menabung. Dengan demikian sedikit sebanyak kami akan dapat menambah tabungan dan dengan adanya tabungan yang mencukupi saya akan dapat menyara keluarga dengan lebih baik lagi supaya dengan itu akan tercapailah segala cita-cita untuk melihat anak-anak berjaya dalam hidup mereka dengan peluang mempertingkatkan diri dengan berilmu pengetahuan agar dapat mengatasi segala rintangan dalam hidup. 3. Apa Yang Ingin Awda Lakukan Untuk Memastikan Hajat Awda Boleh Tercapai? Untuk memastikan Hajat saya boleh tercapai, saya akan tetap berusaha untuk mengukuhkan ekonomi yang dapat mendisiplinkan diri dengan berjimat cermat, menambah tabungan dan membuat perbelanjaan mengikut keperluan sahaja tanpa berlakunya pembaziran demi menjamin masa depan yang cemerlang.
Antara usaha lain adalah dengan cara mengukuhkan ekonomi yang dapat mendisiplinkan diri dalam berjimat cermat membuat perbelanjaan mengikut keperluan sahaja. Mengusahakan perniagaan kuih-muih, membuat pelaburan dan menambah tabungan. 4, Adakah Hajat saya merangkumi keperluan orang yang saya sayangi? Ini sudah untuk kebahagiaan anak-anak dan kaum keluarga semua. Seandainya saya menerima rezeki dan berjaya memperolehi $100,000.00, Insya-Allah akan dipergunakan untuk: ■ Menambah tabungan saya untuk dijadikan Simpanan Tetap. ■ Melunaskan semua hutang-piutang kad kredit. Membeli kereta untuk isteri saya. ■ Menambah skop perniagaan, membuat pelaburan, saham dan pertukaran wang. ■ Menghantar anak-anak ke kelas tuisyen dan seterusnya melanjutkan pelajaran anak-anak ke luar negeri hingga ke peringkat falsafah kedoktoran. ■ Menjana masa depan yang cemerlang duniawi dan ukhrawi untuk orang-orang yang kami kasihi termasuk ibu dan ibu mertua, bersama keluarga tersayang akan dibawa menunaikan fardhu haji/umrah. ■ Membeli tanah di tempat yang strategik dan membina premis perniagaan untuk disewakan, dan seterusnya membuka restoran, kafe untuk ‘take away’, menyediakan perkhidmatan catering bagi menjana pendapatan bulanan. ■ Membantu meringankan beban hutang adik perempuan saya yang tidak mempunyai apa-apa pekerjaan, untuk menyelesaikan hutang rumah perpindahannya setelah kematian suami. ■ Menghulurkan bantuan kewangan kepada adik lelaki saya untuk membaik-pulih keretakan pada lantai dan dinding rumahnya akibat tanah susur. Apa yang saya hajati ini sudah pasti keuntungannya adalah untuk kebaikan bersama yang merangkumi orang-orang saya kasihi dan juga untuk keluarga dan orang lain yang memerlukan bantuan. Untuk orang-orang yang kami kasihi; ibu, ibu mertua, kakak-kakak dan abang-abang serta ipar-duai yang mempunyai masalah kewangan juga akan diberi bantuan saudara-mara, jiran-tetangga, anak-anak yatim, orang-orang fakir dan miskin yang berkeperluan begitu juga sahabat-handai yang dalam kesempitan dan masalah kewangan akan dibantu begitu juga akan didermakan untuk projek-projek keagamaan dan sebagai amal jariah, sekurang-kurangnya meringankan penderitaan mereka dan sebagai tanda kesyukuran. Seandainya ada rezeki yang lebih dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala menerusi Kempen Hajat ini, untuk memiliki $1,000,000.00, Alhamdulillah, sudah pasti dikongsi untuk kebaikan bersama sepertimana yang dihuraikan di atas akan dibantu semampu yang boleh. Dengan bertawaduk, bertakwa dan bertawakal, semoga kita semua mendapat kebaikan di dunia dan juga di akhirat, seandainya dikuniai rahmat rezeki sejuta ringgit, Insya-Allah secara ringkas, perkara berikut juga akan dilaksanakan dengan khidmat pakar perunding kewangan dan perakaunan bank dan sebagainya mengikut keperluan: ► Mengadakan majlis doa kesyukuran tanda bersyukur kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. ► Melakukan amal jariah serta menyumbang kewangan untuk keperluan masjid dan surau. Bersedekah kepada anak yatim dan fakir miskin. ► Menyelesaikan hutang-piutang hasil kad kredit, pinjaman peribadi bank dan pinjaman skim pelajaran anak saya, begitu juga pinjaman peribadi bank isteri saya, pinjaman skim pelajaran anak, pinjaman kereta (untuk anak) dan pinjaman rumah bagi isteri saya. Supaya lebihan wang akan dimasukkan ke dalam tabungan. ► Menambah tabungan wang simpanan, membuat simpanan tetap, pelaburan perbankan, saham, dan bisnes pertukaran wang asing melalui bank. ► Membelikan kereta baru untuk isteri saya, untuk mengurangkan kesulitan kerosakan kereta usang milik isteri saya. ► Membeli bas khusus untuk bas sekolah sebagai pendapatan bulanan. ► Mengerjakan Ibadah Haji bersama isteri, anak-anak, ibu, ibu mertua dan seorang kakak ipar yang belum menunaikan Ibadah Haji, agar timbul rasa keinsafan di hati anak-anak akan kebesaran Illahi. ► Memastikan anak-anak belajar tuisyen dan seterusnya melanjutkan persekolahan mereka ke peringkat yang lebih tinggi. ► Membuka bisnes Kedai ‘Money Changer’ dan Kedai Menjual Buku, Majalah dan Alat Tulis. ► Membuka bisnes Kedai Jahit, sambil menjual pakaian, kain dan lain-lain serta memohon tender membekalkan pakaian unifom dan sebagainya. ► Membeli rumah yang baru siap dibina untuk dijadikan sebagai rumah sewa, untuk menjana pendapatan bulanan menyara keluarga dan untuk kebaikan masa depan anak-anak sebagai warisan memperoleh pendapatan. ► Menghulurkan bantuan bagi baki beban hutang perumahan adik perempuan saya dan menghulurkan bantuan kepada adik lelaki mengenai kerosakan rumah akibat bencana alam. ► Membeli tanah di tempat yang strategik dan membina premis perniagaan untuk disewakan, dan seterusnya membuka restoran, Cake House dan menyediakan perkhidmatan katering yang diusahakan sendiri bersama keluarga yang berminat menjana pendapatan. ► Membuka Kelas membaca Iqra dan al-Quran, Sekolah Tadika dan Kelas Tuisyen untuk semua peringkat umur, dengan mendatangkan tenaga pengajar yang berpengalaman dari luar negeri di samping mempelawa lepasan mahasiswa-mahasiswi yang belum ditawarkan apa-apa pekerjaan sebagai tenaga pengajar mengikut bidang masing-masing. Sebagai amal jariah, anak-anak yatim tidak dikenakan bayaran. ► Untuk kepentingan masyarakat dan Negara. ► Mengusahakan ladang hasil pertanian seperti bertanam padi, buah-buahan tempatan dan bermusim serta sayur-sayuran secara komersial untuk pasaran tempatan dan luar negeri. ► Mengusahakan produk makanan tempatan dalam industri pemakanan untuk dipasarkan ke luar negeri, sebagai inisiatif memperkenalkan negara ke dunia luar. Akhir kalam, sebagai kesimpulan untuk mengakhiri Kisah Hajat Saya ini, saya berpendapat bahawa tekad menabung perlu disemai di hati setiap insan yang dengannya nanti akan dapat memberi kebahagian demi kelestarian hidup sara diri yang cemerlang dan negara yang terbilang. Dengan tercapainya hajat kita akan dapat menjalani hidup yang rukun damai, bersama keluarga dan sahabat-handai di negara yang tercinta ini yang secara langsung dapat membuat satu perubahan minda yang jitu demi memperkukuh asas-asas moral dan etika yang baik, ke arah mencapai prestasi dan kecemerlangan bernegara. Semua ini menjurus ke arah tanda bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan petunjuk dan limpah kurnia Allah Subhanahu wa Ta‘ala jua kita dianugerahi taufik dan hidayah dengan berlandaskan ajaran-ajaran Islam, hidup dalam negara yang aman damai. Semoga hajat semua insan akan dikabulkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, Aamiin, Yaa Rabbal ‘aalamiin.
|


