Wish Maker

WGBYRBCD

"...saya berusaha mengekalkan wang simpanan saya melalui elaun persekolahan yang saya terima setiap bulan sebanyak $40.00 di samping mengamalkan cara hidup berdisiplin, berjimat cermat, bijak berbelanja, membeli barangan yang perlu sahaja dan mengelakkan sifat membazir..."

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM  
 
          Pertama sekali saya sukacita ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak BIBD kerana telah telah mengungkayahkan BIBD Wish Campaign yang memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini untuk membantu mencapai apa yang diimpikan dan seterusnya memberikan galakan kepada masyarakat tua dan muda untuk mengamalkan budaya menabung dalam kehidupan kita. Begitu juga saya, tidaklah terkecuali untuk menyertai program ini bagi mencapai apa yang saya impikan selama ini.
 
          Sebenarnya budaya menabung telah sekian lama tersemai dalam kehidupan saya iaitu bermula sejak saya di sekolah rendah lagi iaitu sebagai didikan awal daripada ibu bapa saya. Pada setiap bulan wang persekolahan saya sebanyak $20.00 akan disimpan di dalam bank sehinggalah ke hari ini. Sekarang saya menuntut dalam tingkatan enam bawah di PTEM. Setentunya saya merasa bersyukur dan bertuah sebagai salah seorang pelajar yang terpilih untuk meneruskan pelajaran di peringkat pra-universiti dan berterima kasih yang setinggi-tingginya kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Beginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas anugerah yang begitu tinggi nilainya kepada diri saya.
 
Saya berciti-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Information Technology. Bidang ini penuh dengan peluang. Penggunaan komputer dan IT tetap diberikan keutamaan. Semua bidang pekerjaan terlibat dalam bidang komputer, kerana IT meningkatkan kecekapan dan kualiti hasil kerja. Selain itu setentunya peluang kerjaya dalam bidang IT juga semakin meningkat permintaannya. Jika berjaya mendapat kelulusan ini, saya boleh menyumbang bakti kepada negara dalam bidang yang saya ceburi terutama di sekolah-sekolah dalam mendidik anak-anak  celik IT.
 
Sebagai persediaan awal saya berusaha menambah wang simpanan saya yang selama ini telah dipraktikkan iaitu sebanyak $20.00 sebulan di salah sebuah bank Islam di negara ini iaitu TAIB. Dan pada masa ini, sejak BIBD Wish diperkenalkan, saya telah memasukkan terus elaun pelajaran bulanan saya yang berjumlah $40 sebulan ke BIBD, dengan harapan wang simpanan saya akan bertambah dan mencukupi untuk keperluan persekolahan saya di sepanjang tempoh pengajian di luar negeri nanti. Wang simpanan itu akan digunakan untuk membeli barang-barang keperluan pengajian dan lain-lain peralatan yang diperlukan nanti.  Saya sangat berharap wang simpanan saya ini mencukupi kerana saya tidak mahu membebankan ibu bapa saya yang telah banyak membelanjakan wang mereka untuk membeli peralatan dan keperluan persekolahan harian saya dan juga adik-adik saya yang lain sehingga saya berjaya memasuki institut ini. Pada masa ini, bapa saya berusaha membantu membayar yuran persekolahan adik bapa saya yang meneruskan pengajian di peringkat Higher National Diploma dalam bidang Computer Science dengan perbelanjaan $15,750.00 bagi tempoh pengajian dua tahun setengah yang diperolehi melalui pinjaman bank. Semua ini dilakukan oleh bapa saya sebagai pelaburan agar adik bapa saya dan juga saya serta adik-adik mempunyai pendidikan dan kelulusan yang membolehkan kami mencari pekerjaan nanti semata-mata untuk masa depan kami jua. Bapa saya sering menasihatkan kepada kami adik beradik bahawa ilmu adalah pelita hidup, yang bakal menerangi kehidupan kami di masa hadapan. Oleh itu, jangan abaikan ilmu, kelak kehidupan akan menjadi gelap.  Apabila saya renungkan nasihat bapa saya dan mengamatinya, hati saya begitu tersentuh dan nasihat tersebut menaikan semangat saya lagi untuk terus belajar hingga ke menara gading dan berazam akan dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa saya. Saya bertekad untuk menambah wang simpanan saya agar saya dapat meringankan bebanan ibu bapa saya satu hari nanti.
 
Dalam mencapai keinginan saya ini, setentunya disiplin diri dalam kehidupan sangat penting terutama dalam berbelanja lebih-lebih lagi melihat kepada pengaruh manusia dan keadaan sekeliling dengan memperlihatkan pelbagai kemewahan dan barangan yang menarik sudah pasti memerlukan kekuatan dan keteguhan iman dalam menangkis perkara-perkara mahupun sebarang aktiviti lebih-lebih lagi yang berunsur negatif yang boleh mensasarkan dan menjahanamkan kehidupan kita. Dalam perkara ini, saya berusaha mengekalkan wang simpanan saya melalui elaun persekolahan yang saya terima setiap bulan sebanyak $40.00 di samping mengamalkan cara hidup berdisiplin, berjimat cermat, bijak berbelanja, membeli barangan yang perlu sahaja dan mengelakkan sifat membazir, lebih-lebih lagi dengan pengaruh globalisasi yang begitu mencabar kerana jika tidak ditangani dengan bijak, kita akan membeli semua barangan yang kita inginkan yang akhirnya akan hanya membawa kesusahan kepada diri sendiri sahaja.
 
Saya benar-benar berharap dan berdoa semoga amalan suka menabung ini akan kekal menjadi budaya hidup saya sehingga bila-bila masa. Dengan wang simpanan yang mencukupi nanti saya berharap akan dapat meneruskan pelajaran saya hingga ke peringkat yang tinggi dan membantu meringankan bebanan ibu bapa saya terutama dalam membantu membayar hutang pinjaman rumah dan kereta yang ditanggung oleh ibu bapa saya semata-mata untuk kemudahan dan untuk kami sekeluarga dapat tinggal dengan selesa. Satu hari kelak, giliran saya pula untuk membantu membiayai perbelanjaan persekolahan adik-adik saya sehingga mereka berjaya hingga ke peringkat yang tinggi dan memperolehi pekerjaan tetap sama ada dengan pihak kerajaan mahupun swasta demi kehidupan yang sempurna.
 
Saya percaya amalan menabung akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan individu dan kita tidak sepatutnya hanya bergantung kepada TAP semata-mata.
 
Sebagai genarasi muda saya setentunya berazam serta berusaha mencapai impian-impian saya dan berdoa semoga  suatu hari nanti impian-impian tersebut menjadi realiti dalam kehidupan saya. Insya-Allah.
 
 
-SEKIAN-