Pembuat Hajat
VX5BUFPJ |
"Dari aspek itulah yang memerlukan saya berusaha untuk membuat simpanan sedikit demi sedikit dan dengan cara menabung inilah yang akan dapat membantu saya dan keluarga saya di kemudian hari nanti, sama ada waktu susah ataupun waktu senang." Salamullah Alaikum warahmatuhu wa barakatuh.. Sebelum saya berkongsi hajat saya, ingin saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak bank BIBD kerana telah mengadakan kempen hajat seperti ini yang mana akan dapat membantu beberapa rakyat bertuah di negara ini yang sangat memerlukan bantuan khususnya dari segi kewangan di samping dapat memupuk sikap menabung dan berjimat cermat di dalam diri masyarakat dan diri saya khususnya. Saya telah mengikuti perkembangan kempen hajat ini sejak dari awal lagi dan saya dapati kempen seperti ini memang berfaedah dan sedikit sebanyak berjaya mengubah sikap boros kepada sikap suka menabung. Lebih membanggakan lagi kebanyakkan hajat yang dipohonkan menggambarkan kemuliaan rakyat di negara ini. Oleh itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengkongsikan hajat saya untuk membuat amal kebajikan kerana sebelum ini kebanyakkan hajat saya berpusatkan kepada saya sahaja. Untuk kali terakhir ini, saya berhajat untuk memperbaiki atau menukar jendela sekolah-sekolah lama yang masih menggunakan rawa seperti pagar atau reban ayam yang sepatutnya sudah menggunakan jendela bercermin sliding. Saya tidak menyangka masih terdapat sekolah lama yang masih menggunakan jendela seperti itu di negara ini yang memang tergolong dalam negeri-negeri yang kaya. Saya hanya mendapati sebuah sekolah lama seperti ini dan untuk pengetahuan bersama sekolah ini tidak terletak di kawasan pedalaman..maka sepatutnya ia sudah di upgrade mengikut peredaran zaman meskipun ia adalah sekolah ugama. Bagi saya sama ada sekolah itu sekolah ugama atau bukan, ia perlu di perbaiki dan di upgrade kerana ia adalah tempat anak-anak kita belajar. Pembelajaran akan menjadi lebih berkesan jika keadaan tempat belajar selesa dan menyenangkan dan murid-murid pun akan sentiasa bersemangat untuk belajar dan hadir ke sekolah. Sekiranya saya terpilih dalam kempen ini, saya berjanji untuk memperbaiki sekolah-sekolah lama yang masih menggunakan jendela yang setail lama kepada setail baru..Insya Allah dan dengan izin Allah Taala jua. Semua ini saya lakukan hanya kerana Allah Taala bukannya kerana ingin mendapatkan pujian dan disanjung tinggi (nauzubillah min dzalik). Jikalau pun saya tidak terpilih, semoga para pembaca hajat dan para dermawan serta jutawan yang membaca hajat saya ini akan tergerak hati untuk mendermakan sedikit wang mereka kepada amal jariah seperti hajat saya ini. Sesungguhnya amalan seperti ini tidak merugikan sesiapa bahkan inilah yang dapat membantu kita di akhirat nanti..bi iznillah. Para pembaca mungkin lebih tahu mengenai dengan amal jariah..saya cuma tahu sedikit sahaja kebaikan amal jariah ini. Hajat saya di atas tadi kini telah menjadi salah satu hajat saya kerana dengan kurnia dan hidayah dari Allah Taala jua, saya sedar bahawa harta di dunia ini tidak ada nilai sedikit pun di akhirat kelak hanya amal ibadat dan amal kebajikan sahaja yang boleh dijadikan bekalan untuk di akhirat nanti. Akan tetapi dengan pendapatan saya yang sederhana amat mustahil saya dapat menunaikan hajat saya ini kerana saya juga berhajatkan perkara lain yang berkaitan dengan kewajipan dan tanggungjawab saya sebagai hamba Allah dan sebagai ayah dan juga suami. Oleh itu jika ada wang lebih saya akan cuba membuat amal jariah setakat yang saya mampu sahaja. Antara lain hajat saya ialah ingin memiliki tempat tinggal sendiri kerana sejak dari sah diijabkabulkan menjadi suami isteri sehingga sekarang, saya masih lagi menumpang di rumah keluarga isteri saya…yakni rumah mertua. Hajat saya ini salah satu hajat yang paling saya utamakan kerana saya rasa kewajipan saya sebagai suami dan ayah belum sempurna jika saya belum menyediakan tempat tinggal (rumah) sendiri. Buat masa ini kami sekeluarga hanya mempunyai sebuah bilik kecil dan ruang yang sempit. Apabila difikirkan tentang masa depan kami sekeluarga seperti anak akan semakin bertambah dan akan membesar, memiliki rumah semakin penting dan sangat diutamakan. Keutamaan semakin tinggi apabila menumpang di rumah mertua, tidak perlulah saya terangkan di sini mengenai hal ini..hanya sang suami yang pernah mengalami seperti keadaan saya ini sahajalah yang memahami perasaan saya pada masa kini. Walaupun saya memang benar-benar berhajat untuk memiliki rumah sendiri akantetapi hati saya juga berkeinginan untuk menunaikan haji bersama isteri. Sebelum kami menjadi suami isteri, kami memang berangan-angan untuk menunaikan haji bersama-sama apabila sudah berkahwin nanti..hanya kewangan sahaja tidak mengizinkan. Kami juga bercadang untuk menunaikan umrah jika kewangan yang ada sudah mencukupi. Keinginan semakin bertambah kuat apabila mendengar sebahagian keluarga kami akan menunaikan umrah pada hujung tahun ini. Perasaan cemburu dan iri hati terasa di hati tetapi mungkin belum masanya kami mengunjungi rumah Allah tahun ini. Saya juga ingin membawa ibu saya bersama-sama kami kerana dia memang benar-benar berhajat menunaikan umrah semenjak balik dari menunaikan haji 3 tahun yang lalu. Duit yang saya berikan padanya setiap bulan disimpannya sedikit demi sedikit dan dikumpulkannya untuk perbelanjaannya menunaikan umrah nanti. Ibu saya juga pernah berkata kepada saya bahawa dia ingin ikut serta jika kami suami isteri pergi menunaikan umrah suatu hari nanti. Maka semenjak itu, saya merancang semula kewangan saya dan kini saya jadikan satu daripada akaun-akaun saya untuk membuat simpanan haji atau umrah. Jika kewangan sudah mencukupi, kami berdoa semoga Allah memudahkan urusan kami untuk menunaikan rukun ke lima ini kerana kita tidak dapat menjangka masa depan termasuklah ajal kita sendiri dan keadaan kewangan kita nanti. Sememangnya saya tidak dapat menafikan jika harapan untuk mendapat bantuan daripada pihak BIBD itu ada akantetapi harapan itu bukan untuk kepentingan saya sendiri tapi demi masa depan dan demi keluarga yang saya sayangi. Tambahan lagi pekerjaan saya tidak menawarkan pencen tua apatah lagi ajal maut yang tidak kita ketahui, sebab itulah saya berharap dapat menyempurnakan kewajipan saya terhadap keluarga dan terhadap Allah Taala. Dari aspek itulah yang memerlukan saya berusaha untuk membuat simpanan sedikit demi sedikit dan dengan cara menabung inilah yang akan dapat membantu saya dan keluarga saya di kemudian hari nanti, sama ada waktu susah ataupun waktu senang. Ini kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku pada esok hari dan hari-hari seterusnya. Banyak cara telah saya lakukan untuk memastikan hidup keluarga dan orang-orang dibawah tanggungan saya supaya terjamin terutama sekali untuk masa hadapan mereka sebagai contoh saya telah menabung melalui pembelian insurans dan menyimpan sebahagian duit gaji saya ke dalam akaun “emergency” saya (hanya akan dikeluarkan jika perlu SAHAJA). Semua ini saya lakukan demi keluarga kesayangan saya dan juga untuk mencapai hajat saya iaitu untuk memiliki sebuah RUMAH dan menunaikan HAJI/UMRAH bersama isteri dan ibu tersayang. Sebab itulah tabiat menabung perlu diasuh sementara keadaan kewangan masih stabil, dan saya yakin dengan cara menabung ini hajat saya ini akan tercapai suatu hari nanti. Walaupun sekiranya hajat ini sudah tercapai, saya tetap akan meneruskan tabiat menabung ini kerana saya yakin ia akan dapat membantu saya dan keluarga saya di kemudian hari, lebih-lebih lagi sewaktu hari tua..maklumlah pekerjaan saya tidak ditawarkan pencen..(“,) Sekian,terima kasih diucapkan kepada para hakim yang berkesudian membaca hajat saya ini dan tidak lupa diucapkan jutaan terima kasih sekali lagi kepada pihak Bank BIBD dan pihak-pihak yang bekerjasama mengadakan kempen ini..Wassalam. |


