Pembuat Hajat
FDED5BUL |
"Hajat saya yang utama dalam hidup ini ialah ingin menunaikan fardu haji..." -- Asalamualaikum w.b.t. Hajat saya yang utama dalam hidup ini ialah ingin menunaikan fardu haji. Dalam merealisasikan impian tersebut saya mula menabung sedikit dari pendapatan saya ke dalam akaun tekad haji. Tetapi wang simpanan yang terkumpul itu terpaksa saya keluarkan kerana menampung pembinaan rumah pada tahun 2003. Dengan adanya kempen "Hajat" ini, insya-Allah hajat untuk menunaikan fardu haji akan terlaksana secepat mungkin. Saya lahir dari keluarga yang sederhana. Setahun selepas tamat menjalani kursus di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal, pada hujung tahun 1991, saya telah mendapat pekerjaan di Jabatan Kerajaan dengan gaji pokok $700.00 sebulan. Ketika itu saya tinggal bersama kedua ibu bapa saya di Skim Perumahan Negara bersama adik beradik yang sudah berkeluarga. Memandangkan keadaan rumah yang sempit dan kedua ibu bapa yang sudah berumur, maka pada tahun 1992, saya telah membuat pinjaman ke bank bagi tujuan menambah rumah ibu bapa dengan potongan gaji sebanyak $250.00 sebulan. Disamping potongan bank, saya juga mempunyai bebanan lain seperti potongan kereta sebanyak $280.00 yang menyebabkan baki gaji saya tinggal $480.00 sebulan dan jumlah ini adalah untuk simpanan, keperluan makan dan minum serta minyak kereta. Selepas beberapa tahun iaitu pada tahun 1997, saya telah membuat penambahan hutang (re-loan) bagi tujuan perkahwinan. Seterusnya, pada tahun 2003, saya membuat pinjaman rumah kerajaan dan membuat tambahan hutang dari pihak bank lagi bagi tujuan pembinaan rumah. Akibat kos untuk pembinaan rumah yang mahal pada masa itu dan pinjaman rumah kerajaan dan bank tidak mencukupi, saya telah mengeluarkan wang simpanan tekad haji yang telah saya kumpulkan bagi pembelian perkakas rumah. Tidak setakat akaun tekad haji tersebut, saya juga terpaksa mengambil sedikit wang simpanan anak-anak bagi tujuan yang sama. Alhamdulilah, rumah telah siap dibina untuk keluarga dan saya diami hingga sekarang. Pada tahun 2007, saya telah terpengaruh dengan promosi pinjaman dari institusi bank tempatan, maka sekali lagi saya telah membuat pinjaman dengan potongan sebanyak $730.00 sebulan. Dihuraikan dibawah potongan-potongan bulanan saya pada masa ini:- Gaji dan Elaun -- $2,380.00 Potongan Pinjaman Kereta -- $544.00 Potongan Pinjaman Peribadi -- $730.00 Potongan Kad Kredit -- $200.00 Pinjaman rumah kerajaan -- $247.00 Pinjaman kereta kerajaan -- $200.00 $459.00 Anggaran minyak kereta setiap bulan -- $150.00 $309.00 Baki gaji saya sebanyak $309.00 itulah saya sedaya upaya menyara kehidupan harian bersama isteri dan anak sebanyak 4 orang yang sedang membesar. Saya amat berharap saya akan terpilih dalam kempen hajat ini agar dapat menunaikan haji pada tahun hadapan akan tercapai. Manakala jika saya berpeluang memenangi kempen sebanyak $1 juta, saya akan memenuhi impian-impian saya iaitu:- [1] Menunaikan fardu haji; [2] Menyelesaikan hutang piutang saya; dan [3] Menghulurkan wang setiap bulan kepada kedua ibu bapa saya dan mertua secara konsisten. Saya amat mengimpikan agar hidup saya dan masa depan anak-anak akan terjamin kerana tiada bebanan hutang dan seterusnya menabung untuk masa hadapan. |


