Pembuat Hajat

8PDHMJAJ

Syukur alhamdulillah dengan rezekiNya jua, saya kini memperoleh pekerjaan di sektor kerajaan dimana gaji bulanan yang diterima dapatlah saya menyara kehidupan dan membayar hutang kereta serta hutang pinjaman bank yang terus saja dipotong melalui gaji saya.

Memandangkan baki gaji hanya tinggal 50 peratus sahaja setelah ditolak dari segala hutang piutang dan menyedari perbelanjaan sara hidup yang kian meningkat maka saya harus mengingati diri sendiri supaya hidup sentiasa berjimat cermat dan jadikan tabiat menabung sebagai satu kemestian. Dari itu saya membuat perancangan bulanan supaya budjet tidak lari pada perkara lain seperti membeli keperluan anak, mengasingkan wang untuk membeli barang dapur, minyak kereta dan selebihnya menyimpan ke dalam Akaun Simpanan semata-mata untuk keperluan dimasa hadapan.

Alhamdulillah dengan adanya wishcampaign ini dapat menambah serta menaikkan lagi semangat saya untuk terus menabung dari masa ke semasa tanpa mengira banyak atau sedikit wang yang disimpan. Apa yang penting, hasilnya dapat membantu di saat kecemasan atau di kala suka mahupun duka.

Seperti orang lain, saya juga mempunyai impian yang tersendiri didalam kehidupan. Salah satu impian saya adalah ingin membeli pasir, batu bata, simen dan besi untuk menyimen dikawasan rumah saya yang agak rendah menyebabkan mudah ditenggelami air apabila hujan lebat turun.

Saya masih ingat seperti tahun lepas kami sekeluarga sama-sama menghalang air dari masuk kedalam rumah namun disebabkan hujan yang begitu lebat, kayu atau papan yang digunakan untuk menyangga hujan di pintu-pintu rumah tidak juga dapat  mengelakkan dari kemasukkan air. Apa yang mampu kami buat ketika itu hanyalah mengambil baldi dan menyiutkan semula air yang telah masuk kedalam rumah dan membuangnya kembali ke luar rumah. Beginilah rutin yang kami lakukan setiap kali hujan turun dengan lebatnya dan saya amat berharap suatu hari saya dapat membantu ibu bapa saya dalam mengatasi masalah ini, InsyaAllah.