Hj Mohd Fadzillah Bin Hj Abdullah

Click to nominate me!
Nominee Code: 10

"One day I was ill and then I realise the fate of my wife and my children if I suddenly called by Allah and I do not have any savings. This feeling has caused me to feel very concerned and I have to provide adequate money for my loved ones’ future."

Hj Mohd Fadzillah wishes to share the joy with the people around him, helping them to achieve their dreams. He wishes for a seed funding for young entrepreneurs, and to help his best friend out of debt.

Hj Mohd Fazillah was aware that he needs to save adequately for his family’s future, as relying on TAP alone may not be enough. He hopes to help others around him achieve their dreams.

His first wish is develop young entrepreneurs in his school. He wants to establish an Incubator program that will create “seed capital” for participants to start and carry out their business. This will provide the young entrepreneurs the financial support required for their business capital, which would otherwise be difficult to obtain.

His second wish goes towards helping his best friend, someone he consider his own younger brother, resolve his debt problems. The person owns a small business supplying instruments to organisations, and relies on the business revenue to support his wife and child. Though the business is uncertain, his friend’s spirit is strong and did not give up, and maintained the business till today.

Hj Mohd Fazillah also wishes to buy a van for his school’s students. The van can be used to bring the students out on visitations, academic activities and co-curriculum activities. This will facilitate the organisation of outdoor activities and community service projects, without the trouble of hiring an external bus or van.

Lastly, he wishes to contribute to charity through Dana Pengiran Muda Haji Al-Muthadee Billah, Tabung Kebajikan Yayasan Haji Hassanal Bolkiah Sultan, and welfare homes for elderly citizens.

Continue to read Hj Mohd Fadzillah's story in full...

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim, Alhamdulillahirabil Alamin Wassalatu Wassalamuala Sayyidina Muhammadin Waala Alihi Wasahbihi Ajmaen  

Terlebih-lebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada pihak BIBD Berhad kerana dengan ikhlas dan gigih menganjurkan kempen BIBD Wish. Kempen seperti ini dapat memberi peluang yang sangat berharga bagi penduduk Negara Brunei Darussalam khususnya pelangan-pelangan BIBD untuk meluahkan hajat sekaligus jika bernasib baik dapat mencapai hajat yang mereka pohonkan. Disamping itu kempen ini juga dapat membuka mata dan memberi kesedaran masyarakat di Negara ini untuk memupuk dan mengamalkan budaya menabung. Tambahan lagi kempen ini dapat mengubah kehidupan seseorang itu dari sifat suka berbelanja kepada sifat suka menabung. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subahanallah Wa’Taala kerana kempen BIBD Wish telah memberikan harapan dan menguatkan semangat semua orang termasuk diri saya untuk terus menabung dan berjimat dalam membuat sebarang perbelanjaan bagi mencapai hajat yang diimpikan.  

Bagi mewujudkan masyarakat yang mengamalkan budaya menabung, sifat suka menabung haruslah dipupuk pada diri setiap individu sejak dari peringkat umur yang masih muda lagi. Kita semua maklum bahawa sifat seperti ini sudah terbukti memberi banyak manfaat dalam kehidupan seseorang. Ini adalah kerana sifat menabung boleh menyelesaikan diri kita dari masalah-masalah yang tidak diduga seperti semasa dilanda kecemasan, kesusahan dan bila bekeperluan. Dengan adanya wang yang ditabung, ianya dapat membantu kehidupan masa hadapan kita supaya menjadi lebih selamat, terjamin dan stabil.  

Sebagai manusia biasa, adakalanya kita lalai untuk mempersiapkan diri bagi menepuhi kehidupan akan datang dan ini termasuklah diri saya sendiri. Apabila dilanda bencana barulah kita sedar dan menyesal atas sikap kealfaan kita, ibarat kata pepatah ‘sudah terhantuk baru tengadah’. Sebelum berkahwin saya mengaku bahawa saya memanglah seorang yang suka berbelanja. Semua ini adalah disebabkan saya baru pernah bekerja dan juga baru pernah menerima wang beribu ringgit untuk dibelanjakan oleh saya sendiri ibarat kata orang Brunei kitaninya ‘kebaruan’.  

Walaupun setiap bulan saya tidak pernah lupa untuk membantu keluarga, terus terang saya katakan saya suka berbelanja tanpa memikirkan masa hadapan. Kadang-kadang saya lupa tentang kesusahan hidup yang pernah saya dan keluarga saya lalui pada masa dulu. Saya tidak pandai mengatur perbelanjaan apatah lagi mempunyai sebarang perancangan kewangan untuk masa hadapan. Adakalanya gaji yang saya terima habis begitu saja tanpa mengetahui kemanakah tujunya wang yang telah saya belanjakan kerana saya tahu saya akan menerima wang gaji beribu ringgit pada bulan berikutnya. Saya juga tidak begitu komited menabung wang. Ibubapa saya selalu mengingatkan saya untuk menabung wang kerana mereka tidak mahu pengalaman kesusahan hidup keluarga kami yang telah lalu terjadi kepada keluarga saya sendiri. Adapun saya menabung wang hanyalah sekadar menyimpan untuk menyamankan rasa hati orang tua saya, nya perambahan orang melayu kitani ‘seperti melepas batuk ditangga’.  

Alhamdulillah, kehidupan berumahtangga telah membuka pintu hati saya supaya menabung dengan lebih tekun. Satu hari saya telah jatuh sakit dan ketika itu saya terbayangkan apa akan terjadi pada nasib isteri dan anak-anak saya jika tiba-tiba saya dipanggil kehadrat illahi dan ketika itu saya tidak mempunyai sebarang wang yang ditabung. Perasaan itu telah menyebabkan saya berasa sangat khuatir. Saya takut saya tidak meninggalkan wang yang cukup untuk membiayai kebajikan mereka apabila saya tiada terutama perbelanjaan harian dan pembelajaran anak-anak saya. Sudah tentulah kehidupan mereka akan sengsara.     

Saya masih ingat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 1427 Hijrah bersamaan dengan tahun 2006 Masehi yang telah lalu yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan bertitah mengenai perlunya hidup berjimat cermat dengan cara menabung wang sebagai persiapan masa hadapan. Di antara isi kandungan titah Baginda berbunyi “carilah kebahagiaan melalui gaya hidup sederhana. Jimatkan wang untuk masa depan keluarga. Jalan kita dan anak-anak adalah masih panjang. Ia meminta perancangan yang bijak daripada kita. Masa depan itu, tidak siapapun yang tahu. Dan anak-anak pula adalah pelaburan masa depan tersebut."  

Titah Baginda itu masih segar dalam ingatan saya dan ianya telah memberi inspirasi serta dorongan kepada saya dan keluarga saya untuk lebih berwaspada di dalam membuat sebarang perbelanjaan kerana saya sedar betapa pentingnya menabung wang untuk persediaan masa hadapan keluarga saya. Sejak dari itulah saya semakin serius untuk menabung wang dan mula membuat perancangan kewangan dengan membuka pelan ‘saving insurance’ bagi kepentingan diri saya, isteri dan anak-anak saya.  Setiap bulan saya memasukkan $100 ke dalam akaun simpanan saya dan $320 ke dalam pelan ‘saving insurance’ keluarga saya. Terus terang saya katakan memang sukar bagi saya untuk menabung jumlah wang sedemikian memandangkan banyak komitmen dan keperluan harian keluarga yang mesti saya tunaikan. Tapi demi kepentingan kehidupan masa depan keluarga serta sebagai persiapan dari mengelakkan diri sebarang musibah yang tidak diduga, maka saya kuatkan juga semangat untuk terus menabung. Alhamdulillah, dengan berkat kesabaran serta galakan yang diberikan oleh isteri saya, saya mampu menabung secara konsisten hingga ke hari ini.  

Saya sedar bahawa saya perlu menabung bagi menyediakan wang yang cukup sebagai bekalan masa hadapan saya dan keluarga saya. Saya juga sering memikirkan apabila saya bersara dari perkhidmatan saya satu hari nanti, saya tidak akan mempunyai gaji pencen. Saya dapat membayangkan apabila tiba saat saya bersara itu nanti, hidup saya hanyalah bergantung pada wang simpanan TAP dan wang yang saya tabung setiap bulan. Wang inilah nanti yang akan menyara kehidupan keluarga saya kelak. Dengan adanya wang yang saya tabung, sudah tentu akan dapat membantu saya mempersiapkan diri dari sebarang kesulitan dan beban hidup dikemudian hari.  

Saya juga perlu menabung untuk menyediakan wang bagi membiayai perbelanjaan pelajaran anak-anak saya terutama jika mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi satu hari nanti sepertimana yang saya harapkan, Insya Allah. Anak-anak saya adalah ‘asset’ saya yang paling berharga. Bagi saya memberi ilmu pengetahuan yang cukup kepada anak-anak adalah sangat mustahak kerana ilmu pengetahuan adalah merupakan pelaburan yang tinggi nilainya. Walau susah macamana sekali pun, saya tidak akan mengabaikan taggungjawab saya di dalam memberi ilmu pegetahuan yang secukupnya kepada anak-anak saya. Saya mahu anak-anak berjaya dalam pelajaran dan mempunyai masa depan yang cerah. Dengan cara menabung wang dari awal sudah tentulah akan dapat membantu mencapai cita-cita saya dan isteri saya untuk melihat anak-anak kami berjaya di dalam bidang pelajaran mereka. Saya sangat percaya hanya dengan mengamalkan sifat menabung sahajalah kita dapat mencapai impian hidup serta keselesaan dan kebahagiaan di dalam kehidupan dimasa-masa akan datang.

Untuk pengetahuan pihak hakim, saya bertugas sebagai seorang tenaga pengajar disalah sebuah sekolah kerajaan di Negara ini dan sudah mempunyai keluarga sendiri. Isteri saya adalah seorang guru dan sudah lebih empat tahun kami mendirikan rumahtangga. Kini kami telah dianugerahkan tiga orang cahayamata dan salah seorang dari mereka sudah pun bersekolah. Kehidupan kami sekeluarga adalah sederhana. Saya hanya bergantung kepada gaji yang saya terima setiap bulan sebagai sumber pendapatan saya. Walaupun gaji saya mencecah $3,000 sebulan, hampir separuh daripada jumlah tersebut terpaksa saya belanjakan untuk membayar pinjaman peribadi, pinjaman kereta, pinjaman komputer dan juga bil-bil bulanan saya. Setiap bulan saya mesti memasukkan sebanyak $420 ke dalam akaun simpanan saya dan pelan ‘saving insurance’ kelurga saya.  

Dalam sebulan kebiasaanya saya membelanjakan sebanyak lebih kurang $700 sebulan untuk membiayai keperluan keluarga saya. Jumlah itu juga termasuk bantuan yang saya berikan setiap bulan kepada kedua orang tua saya memandangkan itu sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai anak pertama dalam keluarga saya dan tambahan lagi bapa saya pula sudah pencen. Setelah ditolak segala perbelanjaan dan juga setelah memasukkan wang ke dalam simpanan keluarga, jumlah gaji saya yang tinggal hanyalah sebanyak tidak lebih $500 sahaja. Saya mesti berjimat menggunakan wang yang kurang dari $500 itu sementara menunggu gaji pada bulan berikutnya.  

Alhamdulillah, mujurlah isteri saya mempunyai pekerjaan dan seorang yang sangat memahami. Sedikit sebanyak dapatlah dia menolong meringankan beban saya di dalam menangani hal perbelanjaan lain keluarga disamping dapat membantu saya terus menabung wang dengan konsisten. Walaupun adakalanya saya mengalami masalah kewangan, saya tetap bersyukur kehadrat Allah Subahanallah Wa’ Taala di atas rezeki yang telah dikurniakannya kepada saya dan keluarga saya. Saya menganggap setiap masalah adalah sebagai dugaan Allah Subahanallah Wa’Taala sekadar menguji kesabaran dan mungkin juga ada hikmah disebalik masalah tersebut.        

Saya berhajat satu hari nanti jika saya dikurniakan rezeki yang berlipatganda saya ingin membantu orang-orang sekeliling saya untuk sama-sama berkongsi kegembiraan mencapai impian yang dihajati disamping memperbaiki taraf kehidupan orang-orang yang saya sayangi. Niat saya untuk membantu adalah ikhlas semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah Subahanallah Wa’ Taala. Saya sangat yakin bahawa setiap perkara kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain akan dibalas oleh Allah Subahanallah Wa’ Taala dengan ganjaran pahala berlipatganda kerana setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.  

Dengan izin Allah Subahanallah Wa’Taala, jika sekiranya pihak BIBD memperkenankan doa hajat saya, saya mempunyai beberapa hajat yang saya impikan untuk menjadi kenyataan. Hajat saya yang pertama ialah membantu sekolah saya melahirkan bakal usahawan-usahawan muda yang mengikuti Program Inkubator Perniagaan untuk memulakan dan menjalankan perniagaan mereka. Caranya adalah dengan mewujudkan sebuah dana untuk dijadikan sebagai 'seed capital’ yang mana berfungsi sebagai kemudahan kewangan bagi para peserta program keusahawanan berkenaan khususnya bagi mereka yang menghadapai kesukaran untuk mendapatkan modal bagi membuka perniagaan. Para peserta program akan dapat menggunakan wang dari dana tersebut untuk dijadikan sebagai modal bagi mereka membuka perniagaan sekaligus merealisasikan hajat mereka untuk menjadi usahawan. Disamping itu wang dari dana berkenaan juga boleh digunakan oleh bekas para peserta yang sudah menjalani perniagaan sebagai modal untuk mereka memajukan dan memperkembangkan lagi perniagaan yang mereka ada pada masa ini.   

Sebagai makluman, sekolah saya sudah lama menjalankan program keusahawanan berkenaan bagi pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka dalam bidang teknikal dan vokasional. Matlamat program berkenaan adalah untuk membantu pelajar-pelajar lepasan teknikal dan vokasional menceburkan diri dalam bidang keusahawanan bagi mengemaskinikan sumber tenaga manusia dalam mempelbagaikan ekonomi Negara. Program keusahawan berkenaan juga bertujuan untuk melahirkan pelajar-pelajar lepasan institusi teknikal dan vokasional supaya menjadi seorang pekerja persendirian di dalam aktiviti-aktiviti perniagaan dan juga untuk mempertingkatkan lagi potensi belia di dalam memberikan sumbangan kepada perkembangan ekonomi dan diversifikasi Negara. Program seperti ini dapat membantu Negara mewujudkan dan melahirkan para usahawan baru yang berwawasan, berdikari dan maju selain membantu mengurangkan sifat terlalu bergantung dalam mendapatkan pekerjaan di sektor awam.  

Program keusahawanan berkenaan diadakan pada setiap tahun dan dibahagikan kepada tiga (3) peringkat. Peringkat pertama ialah sesi pengenalan yang mana para peserta didedahkan dengan kerjaya sebagai seorang usahawanan termasuk mengenali undang-undang perniagaan, tatacara mendapatkan lesen perniagaan dan pekerja, jenis-jenis pinjaman dan sebagainya. Peringkat kedua ialah penyediaan rancangan perniagaan manakala peringkat ketiga ialah peringkat di mana para peserta membuka dan memulakan perniagaan mereka sendiri. Keseluruhan program berkenaan mengambil masa dua tahun dan para peserta boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri dan dalam masa yang sama pengendali program akan terus membantu sekiranya para peserta memerlukan khidmat nasihat.  

Terdapat sebilangan pelajar-pelajar lepasan teknikal dan vokasional yang sangat berminat untuk mengikuti program berkenaan kerana mereka memang bercita-cita untuk menjadi usahawan. Akan tetapi kebanyakkan dari mereka hanya mampu meneruskan program tersebut hingga peringkat kedua. Adapun sebab utama mengapa mereka gagal untuk mencapai peringkat ketiga ialah kerana mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan modal ataupun ‘start-up fund’. Mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk dijadikan sebagai modal untuk membuka perniagaan mereka.  

Para peserta telah berusaha untuk mendapatkan modal dengan cara membuat pinjaman bank dan memohon skim kewangan ‘mikro kredit’. Akan tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk membuat sebarang pinjaman kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat pinjaman terutama dalam mendapatkan penjamin. Pengendali program juga ada membantu para peserta bagi mencari pelabur-pelabur dari syarikat-syarikat swasta yang berminat untuk melabur ke dalam perniagaan mereka. Walaubagaimanapun syarikat-syarikat swasta tersebut tidak berani untuk melabur ke dalam perniagaan para peserta program berkenaan. Peserta program berkenaan hanyalah bekas pelajar dan mereka belum mempunyai pengalaman serta reputasi serta dalam menjalankan sebarang perniagaan dan apa yang mereka ada hanyalah semangat yang tinggi untuk bergiat dalam bidang usahawan. Perkara ini sudah tentu menyukarkan mereka untuk meyakinkan seseorang untuk menjadi penjamin apatah lagi untuk menarik minat syarikat-syarikat swasta untuk melabur ke dalam perniagaan mereka. Akhirmnya mereka kecewa kerana terpaksa melupakan cita-cita mereka untuk menjadi seorang usahawan.  

Sebagai makluman, pengendali program keusahawanan berkenaan adalah terdiri dari tenaga-tenaga pengajar di sekolah saya. Pihak sekolah menyediakan inkubator bagi tempat para peserta menjalankan perniagaan manakala tugas pengendali program ialah melatih dan memberi tunjuk ajar serta nasihat tentang bagaimana cara untuk menjalankan dan mengurus sesebuah perniagaan. Pihak sekolah tidak dapat memberikan bantuan dari segi kewangan atau modal. Ini adalah memandangkan tidak ada sebarang peruntukan atau ‘budget’ yang disediakan untuk pihak sekolah bagi menjalankan program keusahawanan berkenaan. Kebanyakan dari peserta program berkenaan mempunyai idea perniagaan dan buah fikiran yang agak bernas serta semangat yang tinggi untuk menjadi usahawan. Oleh sebab mereka tidak mempunyai modal yang mencukupi dan kesukaran untuk mencari penjamin maka hasrat mereka untuk menjadi usahawan tidak tercapai. Hanya sebilangan kecil sahaja peserta berkenaan yang mampu untuk meneruskan cita-cita mereka menjadi usahawan menerusi program keusahawanan tersebut.  

Saya berharap semoga hajat saya untuk mewujudkan dana sebagai sumbangan bantuan untuk dijadikan modal kepada para peserta program keusahawanan berkenaan akan dimakbulkan. Dengan cara ini, ianya akan dapat merealisasikan cita-cita para peserta untuk menjadi usahawan-usahawan yang mana saya yakin boleh membantu meningkatkan serta mempelbagaikan lagi ekonomi Negara kita ini selain daripada bergantung kepada hasil pendapatan minyak dan gas. Disamping itu, perniagaan-perniagaan yang mereka jalankan itu nanti juga akan dapat membuka peluang pekerjaan kepada remaja-remaja dan belia-belia yang memerlukan pekerjaan, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran di Negara ini.  

Apa yang saya impikan hanyalah sekadar ingin melihat sekolah saya berjaya melahirkan lebih ramai usahawan-usahawan muda yang terdiri daripada anak-anak tempatan khususnya pelajar-pelajar lepasan teknikal dan vokasional menerusi program keusahawanan berkenaan. Saya percaya dana bantuan kewangan tersebut boleh dijadikan sebagai sandaran dan sinar harapan serta penyuntik semangat supaya lebih ramai lagi yang akan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sekaligus dapat membina masyarakat yang bersikap positif, berdikari, berdaya maju dan berdaya saing selaras dengan matlamat wawasan Brunei 2035.  

Hajat saya yang kedua ialah membantu kawan baik saya menyelesaikan masalah hutang yang telah menjejaskan pernigaannya. Saya menganggap kawan baik saya itu seperti adik saya sendiri. Kawan baik saya itu bekerja sebagai seorang usahawan perniagaan kecil yang membekalkan peralatan-peralatan kepada organisasi-organisasi di Negara ini dari sejak tahun 2003. Hasil pendapatan dari perniagaan kawan saya itu bolehlah dikatakan tidak menentu. Adakalanya mendapat untung dan juga ada masanya menghadapi kerugian. Kawan saya bergantung penuh pada hasil pendapatan perniagaannya itu bagi menyara kehidupan isteri dan anaknya yang masih kecil. Disebabkan semangat yang kental dan sikap tidak putus asa, perniagaan kawan saya masih dapat diteruskan hingga ke hari ini.  

Tahun 2006 adalah tahun malang bagi kawan saya dan dari tahun itu juga kehidupannya telah mula berubah. Pada tahun tersebut kawan saya telah mendapatkan pinjaman bank sebanyak lebih kurang $80,000 serta isterinya yang bekerja dengan jabatan kerajaan pula sebagai penjamin bagi pinjaman berkenaan. Tujuan pinjaman bank tersebut adalah kerana kawan saya telah berjaya mendapat ‘tender’ untuk membekalan beberapa peralatan kepada sebuah organisasi di Negara ini. Itulah kali pertama kawan saya mendapat tawaran ‘tender’ yang sangat besar serta menjanjikan pulangan yang lumayan. Kawan saya tidak mahu mensia-siakan peluang keemasan tersebut. Kawan saya sedar bahawa wang modal yang ada padanya tidak mencukupi. Dia memerlukan wang tambahan untuk menambahkan modalnya supaya mebolehkannya memenuhi tawaran ‘tender’ tersebut.  

Disebabkan kesuntukan wang modal maka kawan saya pun terpaksa membuat pinjaman bank bagi mencukupkan modal untuk membiayai ‘tender’ berkenaan. Lagipun dia tidak mahu meminjam wang dari orang lain kerana sudah menjadi sifat kawan saya tidak suka membebankan dan menyusahkan orang lain. Harapannya hanyalah ingin memenuhi kehendak tawaran ‘tender’ berkenaan kerana jika dia dapat memenuhi ‘tender’ tersebut, perniagaannya boleh mendapat keuntungan serta boleh meningkatkan lagi imej dan reputasi perniagaannya. Tapi apabila peralatan-peralatan yang dipesan melalui ‘tender’ itu tiba dan dihantar kepada organisasi yang berkenaan, pesanan tersebut dibatalkan atas alasan spesifikasi peralatan-peralatan berkenaan tidak sama dengan spesifikasi peralatan yang dipesan. Kawan saya telah berulang-kali merayu kepada organisasi berkenaan supaya menerima peralatan-peralatan tersebut. Akan tetapi segala usaha rayuannya telah gagal. Yang lebih malang lagi kawan saya tidak dapat memulangkan semula untuk menukarkan semua peralatan-peralatan tersebut kepada penjual asal.  

Kawan saya telah sedaya upaya menjual peralatan-peralatan tersebut kepada beberapa syarikat di dalam dan luar Negara. Akan tetapi usahanya untuk menjual peralatan tersebut tetap gagal walaupun dia sudah menawarkannya dengan harga yang lebih rendah dari harga asal. Disebabkan perkara sedemikian, kawan saya terpaksa menanggung kerugian yang amat banyak dan terpaksa membayar pinjaman bank tersebut hingga ke hari ini. Ini telah menjejaskan perniagaan kawan saya serta pendapatannya. Kadang-kadang kawan saya merasa tertekan kerana tidak dapat menjelaskan bayaran bulanan pinjaman bank tersebut tepat pada masanya. Masalah tersebut bukanlah disenghajakan oleh kawan baik saya. Masalah tersebut adalah disebabkan perniagaan kawan saya gagal mendapat keuntungan kerana kadang-kadang pihak yang berkenaan lambat membuat pembayaran kepada kawan saya. Oleh kerana kawan saya gagal membuat pembayaran tepat pada masa yang diberikan oleh pihak bank, maka gaji isteri kawan saya, iaitu penjamin bagi pinjaman berkenaan, terpaksa dipotong oleh pihak bank. Keadaan ini telah menyukarkan kehidupan kawan saya dan keluarganya. Kawan saya berasa kesal kerana jikalau dia menolak tawaran ‘tender’ itu dari awal mungkin masalah ini tidak akan berlaku dan kehidupannya tidak akan menjadi susah. Walaupun sedemikian kawan saya sentiasa sabar dan tidak pernah lupa mengerjakan segala suruhan Allah Subahanallah Wa’ Taala serta sentiasa memanjatkan doa agar keluarganya sentiasa dimurahkan rezeki dan dijauhkan dari sebarang bencana.  

Saya merasakan kesusahan hidup yang ditanggung oleh kawan baik saya itu seperti kesusahan saya sendiri. Adakalanya bila saya mempunyai rezeki yang lebih saya menolong kawan baik saya dengan memberikannya bantuan setakat yang saya termampu untuknya meneruskan perniagaan disamping dapat meringankan beban yang dihadapinya. Niat saya menolongnya adalah ikhlas semata-mata kerana Allah. Saya tidak sampai hati melihat kawan baik saya hidup dalam kesusahan dan saya selalu berdoa kehadrat Allah Subanahallah Wa’Taala agar dia diberikan kekuatan dalam menepuhi cabaran hidup dan semoga rezekinya dilipatgandakan. Harapan saya dengan menyertai kempen BIBD Wish ini, hajat saya untuk membantu kawan baik saya bebas dari beban hutang yang dihadapinya akan dimakbulkan. Semoga kawan saya akan terus dapat hidup bahagia menjalankan perniagaannya dengan lebih berjaya. Amin Ya Rabil Alamin.  

Hajat saya yang ketiga ialah membeli van bagi kemudahan pelajar-pelajar di sekolah saya. Dengan adanya van itu nanti pelajar-pelajar di sekolah saya bolehlah menggunakan van tersebut untuk mengadakan aktiviti lawatan sambil belajar, aktiviti-aktivi akademik dan aktiviti-aktiviti ko-kurikulum. Ianya nanti akan dapat memudahkan mereka menganjurkan aktiviti luar dan projek sekolah seperti khidmat masyarakat dan sebagainya tanpa menyusahkan pihak sekolah dan pelajar-pelajar untuk menyewa bas atau van.  

Pihak sekolah saya sudah lama bercadang untuk membeli van bagi kemudahan pelajar-pelajar. Oleh kerana tidak ada peruntukan atau ‘budget’, maka sekolah saya terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki van sendiri. Jika ada aktiviti lawatan atau aktiviti luar, pihak sekolah saya terpaksa menyewa kenderaan seperti van atau bas dari syarikat swasta. Lagipun perbelanjaan untuk menyewa bas adalah sangat mahal dan disebabkan masalah tersebut pihak sekolah terpaksa menghadkan aktiviti-aktiviti lawatan dan acara luar sekolah. Kadang-kadang aktiviti-aktiviti tersebut terpaksa dibatalkan kerana kesukaran untuk mendapatkan kemudahan pengangkutan dan ketiadaan kenderaan untuk membawa pelajar-pelajar ke tempat acara dijalankan. Masalah sedemikian telah banyak kali membuatkan pengajar-pengajar dan pelajar-pelajar berasa sangat kecewa.  

Jika sekolah saya mempunyai van sendiri, ianya akan memudahkan pihak sekolah khususnya pelajar-pelajar untuk mengadakan aktiviti-aktiviti luar sekolah yang berfaedah dan bermanfaat. Tambahan lagi ianya akan meningkatkan motivasti pelajar-pelajar untuk bukan sahaja aktif di dalam bidang akademik tapi juga dalam bidang ko-kurikulum. Jadi besarlah harapan saya sekiranya impian saya untuk membantu sekolah saya membeli van dapat dimakbulkan agar dapat menggembirakan hati pengajar-pengajar dan pelajar-pelajar di sekolah saya. Amin Ya Rabil Alamin.  

Hajat saya yang keempat ialah membuat amal jariah untuk dijadikan sebagai bekalan hidup saya dan keluarga saya diakhirat kelak iaitu dengan cara memberikan sumbangan bantuan berupa derma kepada anak-anak yatim melalui Dana Pengiran Muda Haji Al-Muthadee Billah, Tabung Kebajikan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, persatuan orang-orang cacat dan kurang upaya, rumah kebajikan orang-orang tua dan warga emas, orang-orang susah yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan sebagainya.  

Harapan saya ialah untuk melihat masyarakat kita yang kurang bernasib baik supaya sama-sama berkongsi kegembiraan dari hasil kempen BIBD Wish ini dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban kehidupan mereka. Saya berasa sangat yakin hanya dengan mengikuti kempen BIBD Wish ini sahajalah saya dapat membantu merealisasikan segala impian masyarakat sekeliling saya untuk sama-sama berkongsi mencapai apa yang kami impi-impikan selama ini untuk menjadi kenyataan.  Disamping itu juga saya berharap semoga dengan melakukan perkara yang berkebajikan sedemikian, saya dan keluarga saya mendapat keredhaan dan keberkatan Allah Subahanallah Wa’Taala di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabil Alamin.  

Demikianlah luahan hajat-hajat yang sudah sekian lama tersirat di dalam isi hati saya. Bagi memastikan hajat-hajat saya ini terkabul, segala dorongan dan semangat yang diberikan oleh isteri saya serta segala perancangan kewangan yang telah saya laksanakan akan dapat membantu diri saya supaya lebih sentiasa terus konsisten menabung wang setiap bulan ke dalam akaun simpanan Al-Wadiah BIBD saya walau berapa sekalipun jumlahnya. Saya bertawakal semoga hajat-hajat saya ini akan dapat menolong masyarakat sekeliling saya merealisasikan impian mereka disamping dapat mengubah serta memperbaiki taraf kehidupan orang-orang yang saya sayangi. Semoga hajat-hajat saya ini akan diperkenankan oleh Allah Subahanallah Wa’Taala dan mendapat restu dari pihak BIBD.  

Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak hakim kerana sudi meluangkan masa membaca luahan hajat-hajat saya. Saya juga tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak BIBD kerana menjayakan Kempen BIBD Wish ini dan memberi peluang yang sangat berharga kepada masyarakat Negara ini khususnya pelangan-pelangan BIBD untuk meluahkan hajat masing-masing. Saya percaya dengan keikhlasan pihak BIBD menganjurkan kempen BIBD Wish ini, segala usaha murni pihak BIBD akan sentiasa mendapat berkat dari Allah Subahanallah Wa’Taala.   

Dengan berdoa dan bertawakal semoga hajat-hajat saya dimakbulkan serta diperkenankan oleh Allah Subahanallah Wa’Taala dan semoga pihak BIBD mendapat ganjaran yang setimpal dan mendapat lindungan dari Allah Subahanallah Wa’Taala jua. Amin Ya Rabil Alamin.    

Wassalam

Back to Top