Hjh Norain binti Hj Ali Hussin
Click to nominate me!
Nominee Code: 01
"Wang pinjaman yang Hjh Norain dapatkan dari bank digunakan untuk membina rumah, membeli kereta, membiyai keluarga, membayar yuran persekolahan anak-anak serta membantu membiayai persekolahan dan makan minum 5 orang ipar-ipar nya yang masih kecil ketika itu kerana ibu-bapa mereka telah meninggal dunia."
Anugerah dari BIBD ini dapat membantu mengurangkan beban Hj Norain.
Kini mereka sudah dewasa, hanya seorang adik ipar yang masih dalam pengawasan Hjh Norain dan suami. Dengan pinjaman dari bank mereka membantu membiyai pelajaran adik iparnya dalam jurusan Computer Studies di IGS School tempatan.
Beliau juga mempunyai 4 orang anak remaja yang masih bersekolah yang sudah tentu memerlukan kewangan untuk pembelajaran mereka. Anak yang sulong ingin meneruskan pelajaran di peringkat ijasah dalam bidang Arketik.
Dengan komitmen bank yang besar mereka suami-isteri merangcang kehidupan seharian yang berdisiplin. Beliau sering mengingatkan anak-anak dan adik-adik ipar untuk menanamkan sikap tidak membazir, berdisiplin dan tidak mencuaikan pelajaran demi masa depan mereka.
Jika kewangannya mencukupi pertama-tama beliau berhasrat menyelesaikan hutang bank, membiyai pembelajaran anaknya keperingkat ijazah dan juga membaik pulih rumah kediaman orang tua beliau. Beliau juga ingin mendirikan sebuah madrasah untuk kanak-kanak belajar mengaji Quran dan juga tempat melakukan aktivit-aktivit kebajikan.
Continue to read Hjh Norain's story in full...
Pertama sekali saya sukacita ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak BIBD kerana telah mengungkayahkan BIBD Wish Campaign yang memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini untuk membantu mencapai apa yang diimpikan. Begitu juga saya, tidaklah terkecuali untuk menyertainya agar saya dapat mencapai apa yang saya impikan selama ini.
Saya seorang pegawai kerajaan yang telah berkhidmat hampir 20 tahun. Dalam mengharungi tempoh tersebut, sudah setentunya berbagai cabaran, rintangan dan masalah telah dilalui namun semuanya dihadapi dengan penuh kesabaran dan penuh tawakal kepada Allah S.W.T. Saya tidak terlepas dari berhutang, semata-mata untuk mencapai apa yang setiap keluarga inginkan dalam hidupnya. Wang pinjaman yang dibuat melalui bank digunakan untuk membeli kereta, membina rumah, membiayai keluarga dan anak-anak untuk membayar yuran persekolahan di samping itu juga membantu ipar-ipar saya seramai 5 orang yang masih kecil pada ketika itu untuk mereka meneruskan persekolahan kerana mereka sudah tiada tempat bergantung. Ibu bapa mereka telah meninggal dunia sewaktu mereka masih berada di sekolah rendah lagi.
Walau pun saya hanya sebagai kakak ipar, namun atas rasa tanggung jawab dan amanah yang mesti saya laksanakan maka saya dan suami tidak keberatan untuk menyumbangkan sedikit wang pada setiap bulan untuk makan minum mereka sehinggalah mereka dewasa dan kini dua orang daripada mereka telah beroleh pekerjaan dan dapat menjaga adik-adik mereka. Pada masa ini hanya tinggal seorang adik ipar saya yang bungsu yang masih di bawah pengawasan saya dan suami. Demi masa depannya, saya dan suami telah bersetuju untuk memenuhi impian adik ipar saya untuk melanjutkan pelajaran di peringkat HND dalam jurusan Computer Studies di IGS School di negara ini dengan perbelanjaan $12,600.00 bagi tempoh pengajian dua tahun setengah. Wang yang digunakan untuk membayar bayaran pengajian ialah wang pinjaman daripada bank.
Ketika ini, saya sendiri juga mempunyai 4 orang anak yang sudah meningkat remaja dan masih bersekolah, sudah setentunya memerlukan juga kewangan untuk membeli alat-alat persekolahan dan lain-lain keperluan mereka. Yang sulung pada masa ini memohon Biasiswa Kerajaan KDYMM untuk meneruskan pelajaran di peringkat Ijazah dalam bidang Arketik di United Kingdom manakala anak yang kedua menuntut dalam Tingkatan Enam Bawah, yang ketiga menuntut dalam Tahun 7 dan yang bungsu dalam Tahun 4.
Dengan hutang yang besar, saya dan suami telah merancang kehidupan seharian dengan lebih teratur dan berdisiplin, mengamalkan cara hidup berjimat cermat, berbelanja pada barang-barang yang perlu sahaja dan menetapkan sejumlah wang untuk disimpan di dalam bank pada setiap bulan demi masa depan anak-anak, keluarga dan juga di hari tua. Saya sering mengingatkan kepada anak-anak dan adik-adik ipar untuk menanamkan sikap tidak membazir, berdisiplin dan tidak mencuaikan pelajaran demi masa depan mereka. Doa sering dipanjatkan agar kami sekeluarga dan sanak saudara dilimpahkan rahmat dan rezeki, dipermudahkan kesukaran dan terlepas dari belenggu hutang serta mendapat kesenangan hidup dunia dan akhirat.
Jika kewangan saya mencukupi, pertama-tama yang saya ingin laksanakan ialah menyelesaikan hutang bank, hutang kereta dan hutang rumah. Ada pun sebelum ini, keperluan untuk berhutang itu sangat mendesak kerana beberapa perkara iaitu pertama untuk membina sebuah rumah bagi melindungi anak-anak dan keluarga agar mereka dapat berteduh, hidup selesa dan sempurna. Begitu juga untuk memberli kereta bagi kemudahan pergi ke tempat bertugas dan juga untuk menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah dan lain-lain. Selebihnya adalah untuk membiayai persekolahan adik ipar saya. Saya sedar, anak-anak adalah kurnia dan amanat Allah S.W.T yang mewajibkan ibu bapa untuk menjaga dan memelihara mereka dengan memberikan pendidikan, pakaian, makan minum yang cukup dan memberikan pendidikan agama supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan sempuna hidupnya dunia dan akhirat.
Selain itu, jika wang simpanan saya mengizinkan, saya ingin menghantar anak saya yang sulung yang berkeinginan untuk meneruskan pelajaran keluar negara di peringkat ijazah dalam jurusan Arketik, jika sekiranya peluang untuk mendapatkan biasiswa Kerajaan KDYMM tidak dipertimbangkan.
Seterusnya, saya berhasrat untuk membaik pulih rumah kediaman orang tua saya yang sudah usang agar ibu bapa saya dapat tinggal di rumah tersebut dalam keadaan yang selesa dan selamat serta menyediakan keperluan-keperluan khusus untuk mereka memandangkan mereka sudah tua. Saya merasakan tindakan saya ini, tidaklah setimpal dengan usaha dan jerih payah mereka mengasuh saya dari kecil hingga dewasa sehingga saya mendapat pendidikan hingga ke peringkat yang tinggi walaupun kehidupan mereka ketika itu susuh dan kadang-kadang terpaksa mengikat perut dan pergi ke laut untuk mendapatkan rezeki, mereka tidak pernah lalai mahupun mencuaikan kehidupan saya dan 7 orang adik beradik saya yang lain.
Impian saya seterusnya yang benar-benar ingin saya capai, jika wang simpanan bertambah iaitu mendirikan sebuah madrasah yang sederhana besarnya yang boleh digunakan sebagai tempat kanak-kanak belajar mengaji Quran / Iqra' dan tempat melakukan aktiviti-aktiviti berkebajikan yang boleh digunakan dan terbuka kepada orang-orang kampung dan masyarakat di sekeliling amnya. Sejujurnya, saya terkilan dan merasa rugi hidup di dunia ini seandainya saya tidak membuat kebajikan yang pahalanya berterusan sehingga ke hari kiamat.


